Tika angin bertiup menandakan hujan kan membasahi bumi buat kesekian kalinya. Tika air di sungai mengalir dengan derasnya, karana hujan lebat siang tadi. Tika aku di atas sejadah, menyelesaikan kewajipanku buat hari ini. Perasaan itu, persoalan itu, kebingungan itu kembali menyusup ke jiwaku. Adakah aku begitu lemah? Atau terlalu ego? Adakah kerana aku merasakan ia terlalu singkat dari yang sebelumnya? Atau aku sendiri yang tidak berani mengharap?
Ketika di konti radio, sedang berbicara sambil menyelesaikan tugasan masing-masing, perbualan kami tertumpu pada satu persoalan yang memang ternyata kian kerap berada difikiranku, dan juga semestinya di pemikiran ramai anak gadis yang telah tiba waktu kembangnya. Iyaa.. persoalan tentang masa depan, keinginan berumahtangga, dan calon-calonnya. Hehe.. memang aku akui persoalan ini sering berkunjung diruang legar pemikiranku akhir-akhir ini. Mungkin waktuku telah tiba. Mungkin ini petunjukNya. Mungkin juga kekosongan diri ini sudah memerlukan pengisinya. Sahabatku bertanya, apa yang aku akan lakukan jika aku menerima perkhabaran bahawa ada hamba Allah yang telah berkunjung dan ingin meminangku? Bagaimana riaksiku? Adakah aku akan menerimanya?
Semestinya, diriku memang sukar untuk menumpukan perhatian dalam isu-isu yang berat. Mungkin sekali kerana tika itu, aku perutku sedang mendendangkan keroncong mengkhabarkan ia perlu diisi. Mungkin juga kerana pemikiranku tika itu diganggu akan deretan tugasan yang perlu kusiapkan dalam 24 jam akan datang. Mungkin juga aku cuba untuk mengelak, kerana aku juga belum pasti apa yang mungkin ku lakukan. Yang pasti, jawapan pertamaku, akan ku bertanya pada emak, “batu besar mana yang hentak kepala dia sampai dia bisa membuat keputusan untuk meminangku?”. Berseloroh. Ya, itulah jawapanku. Diikuti dengan, “mungkin dia silap rumah kot..” tambah lagi aku.
Sukarkah untuk aku percaya bahawa mungkin ada hamba Allah yang selama ini memerhatiku(erk!), dan ingin menyuntingku untuk dijadikan teman dunia dan akhirat? Mungkin juga. Aku kenal diriku ini. Sifatku memang tiada kelembutan. Tiada sifat kewanitaan pada diriku. Aku kasar. Kata-kataku tidak teratur, sepertimana teman-temanku yang lebih lemah lembut. Lihat saja jawapanku tadi. Berseloroh tika menjawab pertanyaan yang penting. Aku terima hakikat bahawa aku bukanlah seorang yang mempunyai ciri-ciri kewanitaan yang ramai lelaki dambakan dalam memilih pasangan hidup. Aku ini, kalau dibandingkan, serba kekurangan. Aku lebih selasa berseluar, bersepatu sport dengan t-shirt, dan suka aktiviti lasak dan mencabar. Memang aku tahu ada ramai wanita diluar sana sepertiku, tapi aku juga kurang dari segi rupa dan pendandanan. Aku lebih selesa tampil dengan imejku yang ala-ala tomboy, berdikari, dan selalu sendiri. Cara yang terbaik untuk mengelakkan diri disunting, bukan? =P
Siapa hamba Allah yang biasa, yang punya hati dan perasaan, tidak ingin punya pasangan untuk dikongsi hidupnya. Untuk menjadi teman bicara, setia bersama hingga ke akhir hayat, dan dengan Rahmat dan IzinNya, juga diakhirat kelak. Aku juga punya perasaan begitu. Aku juga pengen bercanda dengan selesa. Menumpang manja. Berceritakan perkara-perkara yang berlaku dalam harianku. Selama ini sememangnya aku berkongsi bersama-sama teman di kamar dan juga teman-teman yang akrab. Tapi, jika peneman yang dikatakan jodoh, pasangan hidup, suami itu, pasti punya kelebihan yang jauh lebih tinggi berbanding teman-teman yang lain. Dan sememangnya itulah dia yang dinamakan cinta. Kasih sayang, keupayaan untuk bergantung harap, serta teman setia yang Allah jadikan halal buat kita kaum wanita.
Selama ini aku memang konservatif dalam berteman. Memang aku punya ramai teman lelaki, dan adakalanya aku lebih selesa bersama mereka berbanding dengan teman wanitaku kerana persamaan dan pemahaman yang seiring. Walaupun begitu, cuma sebilangan kecil sahaja yang tahu akan kedudukan rumahku, kerana jarang sekali aku membawa teman lelaki pulang ke rumah. Bagiku, biarlah mereka menjadi teman di luar, kerana hubungan kami memang hanya begitu, malah andai kata mereka mempunyai masalah dengan pacar mereka, aku bisa menjadi pendengar setia. Dan buat pasangan mereka, tidak perlulah berasa tergugat kerana aku sememangnya tidak mahu melukakan hati kaum yang sama denganku. Aku berteman dengan mereka kerana keselesaan, keserasian, dan ilmu yang dapat kami berkongsi bersama.
Buat sahabatku yang bertanyakan soalan itu tadi, aku telah rungkaikan kenapa jawapanku lebih kearah berseloroh dari menjawabnya dengan serius. Aku tidak berani berharap dan percaya, dalam sifatku yang kasar dan ligat ini, ada hati yang bisa menerima. Mungkin aku yang paranoia. Andai kata situasi tersebut berlaku kepadaku, mungkin itulah reaksi pertamaku.
Tapi, kalau didalami, sendiri aku terangkan bahawa, jika hamba Allah itu adalah jodohku, biarlah dia dahulunya menjadi temanku. Kerana aku lebih menonjolkan sifatku kepada teman-temanku dari seorang yang mungkin dijodohkan buatku, kerana keinginan menjaga nama baik keluarga. Andai kata dia itu teman waktu kecilku, aku akan berterus terang akan perubahan yang telah aku lalui, dan aku bukanlah seperti diriku yang dahulu. Andai kata dia adalah kenalan dari hubungan keluarga, mungkin aku berhati-hati, kerana hubungan akrab ini tidak mahu aku cemari. Maka, jika dia ingin menerimaku, alasanya masih sama. Aku memerlukan dia masa untuk mengenali diriku yang sebenar, bukan sandiwaraku yang sok suci kerna diperhatikan. Pokoknya, aku tidak mahu dia menerimaku kerana dia berharap sesuatu dariku yang tidak dapat ku beri. Aku tidak bisa menerimanya, andai kata dia itu mempunyai satu persepsi yang palsu tentangku. Aku yang lantang bersuara, pantang dicabar, tidak suka dibiarkan menunggu tanpa sebab ini memang sukar untuk meluahkan perasaanku kepada seseorang yang baru ku kenal. Andai lah kata dia itu seorang yang bisa membaca peribadiku dengan jitu, berilah aku sedikit masa untuk menyesuaikan diriku. Bukan aku ini tidak bisa dibentuk, tetapi biarlah mengenali dan menerima keburukan diriku, kerana kebaikan padaku hanya akan terungkai setelah lama mengenaliku.
Secara peribadi, aku memerlukan seorang pemimpin, yang dapat membimbingku kearah keRedhaanNya. Yang dapat menegur kesalahanku. Yang dapat mencintai dan menyayangiku kerana dia mencintai Penciptanya. Dia yang berada dihatiku, menjadi pembelaku, yang menuntunku kearah kebenaranNya. Bersama berjihad kearah menghidupkan usratul sakinah, menyahut hadith Rasul s.a.w dengan mendidik dan membangunkan ummah. Seorang yang tegas dan penyayang, berani menegakkan kebenaran. Seorang yang, tidak segan silu untuk bertanya dan menimba ilmu, dan berkongsi dengan seisi keluarga, dalam misi kami membina keluarga bahagia dan bertaqwa.
Maka, andai kata memang dialah jodoh buatku, aku terima dia dengan sebulat hati. Tiada celanya, kerana selama ini memang aku telah khususkan cintaku buatnya. Dan aku pohon, andai hati ini mungkin telah tersangkut pada yang lain sebelum munculnya dirimu dalam hidupku, berilah aku sedikit masa untuk mengenali dan mencintaimu. Kerana aku percaya, Allah tidak akan mensia-siakan permintaanku. Aku tahu, apa yang ditentukan olehNya itulah yang terbaik buatku. Wallahu’alam…
(*Hamboih! Ayat.... xleh blah. Tu la, dah lapaq, maleh nak makan. Pastu bedal makan coklat ngan beskot... Dah tu lak, layan lagu keroncong memalam kaaaannn... Haaa.. nilah hasil dia. ENJOY!)
Saya sembelit!
8 years ago
No comments:
Post a Comment